Pu’er – Kaya Dengan Sejarah’
Laluan Teh-Kuda Purba berliku-liku merentangi ‘Bumbung Dunia’.
Dengan kewujudan laluan yang berbahaya ini, kemasyhuran dan pengaruh teh Pu'er Yunnan tersebar jauh dan meluas.
Selama beribu-ribu tahun Laluan Teh-Kuda Purba adalah sebuah koridor yang paling penting menghubungkan tamadun purba Yunnan dan Sichuan di barat daya China dengan Tibet dan akhirnya India.
Laluan ini adalah jauh lebih tua daripada namanya; ianya menjadi terkenal untuk perdagangan teh dan kuda sejak zaman Dinasti Tang dan Dinasti Song, lebih daripada 1000 tahun yang lampau. Namun, makam-makam kepingan batu purba yang ditemui di sepanjang laluan berkenaan mencadangkan yang ianya merupakan laluan penting bagi pertukaran kebudayaan dan ekonomi seawal tahun 2000 Sebelum Masehi.
Laluan ini bermula di bandar perdagangan teh Pu'er. Di sini, kuda yang sarat dimuatkan dengan teh akan memulakan perjalanan di laluan berselirat berliku-liku merentasi kawasan pengeluar teh utama Yunnan.
Rombongan kafilah, kuda dan teh kemudiannya akan memasuki Pergunungan Hengduan yang menganjur melalui kawasan kaki bukit timur.
Di sini, laluan berkenaan menjadi lebih berbahaya, rombongan kafilah dengan kuda mereka yang sarat mengangkut muatan, membawa bahan makanan dan barang keperluan yang termampu dikendalikan, merentasi lembah curam berceranggah di hulu tiga buah sungai; Sungai Yangtze, Sungai Mekong dan Sungai Nu, sambil mendaki dua dataran yang tertinggi di China; Qinghai – Tibet dan Yunnan – Guizhou.
Perjalanan beribu-ribu batu, teh berkenaan akan menyeberangi lebih daripada lima puluh buah sungai dan puluhan gunung-ganang yang kesemuanya berketinggian lebih daripada 3000 meter (9000 kaki) mencecah langit.
Ini adalah salah satu laluan pengangkutan yang tertinggi di dunia dengan keadaan cuaca yang amat melampau. Rombongan kafilah berkenaan akan dihujani ribut salji dan ais, sinaran matahari pergunungan yang membakar dan angin kencang, kebiasaannya semua dalam hari yang sama.
Suhu akan melambung panas oleh matahari pada waktu siang dan menjunam ke tahap beku pada waktu malam.
Sepanjang perjalanan yang panjang dan sukar ini, teh Pu'er akan tertapai secara semula jadi, keadaan cuaca dan haba kuda mempengaruhi proses penapaian.
Apabila ia akhirnya tiba di bandar Lhasa, Tibet, orang mendapati yang ianya telah bertukar menjadi warna coklat gelap, mempunyai aroma berbau tanah dan rasa yang lebih lunak dan lebih bermanfaat sebagai tambahan kepada diet daging dan keju orang Tibet yang terlalu sedikit.
Di Tibet, teh itu akan ditukarkan dengan kuda Tibet yang gagah dan rombongan kafilah itu akan kembali ke Sichuan dan Yunnan.
Rekod menunjukkan yang perdagangan teh-kuda dijalankan secara besar-besaran di mana Kerajaan China Han akan membeli separuh daripada jumlah keseluruhan pengeluaran teh Sichuan, lebih daripada 150,000,000 kilo, dan menukarkannya dengan sehingga 20,000 kuda perang setiap tahun dengan suku kaum pergunungan Tibet.
Kesemua dinasti China alaf lepas mengakui betapa berharganya Laluan Teh-Kuda, sehinggalah ke zaman pemerintahan Dinasti Qing, yang berkuasa dari tahun 1644 hingga 1911.
Perdagangan kuda telah dihentikan dalam tahun 1735 tetapi pemerintah Cina menyedari akan keperluan Tibet untuk mendapatkan teh bagi menampung diet mereka.
Dinasti Qing menggunakan teh untuk mengenakan imperialisme ekonomi terhadap orang Tibet dan menawarkan hadiah berupa teh paling bermutu kepada para pemerintah Tibet: 2500kg kepada Dalai Lama dan 1250kg kepada Panchan Lama dianugerahkan setiap tahun semasa pemerintahan Qing.
Ketika zaman Perang Dunia ke-2, Laluan Teh-Kuda memainkan peranan utama terbarunya dalam hal ehwal dunia. Dalam tahun 1942, tentera Jepun telah menakluki kesemua bandar-bandar di perairan pantai China dan Burma (Myanmar) dan mereka telah menyekat semua jalan untuk menghentikan bekalan daripada memasuki negara China. Namun laluan kuda berkenaan masih kekal dibuka.
Lebih 25,000 ekor kuda, keldai dan yak beroperasi di sepanjang laluan tersebut, bekerjasama dengan lebih daripada 1200 syarikat perdagangan untuk membawa segala-galanya daripada mesin jahit hinggalah ke bekalan rokok, minuman wiski hinggalah ke kelengkapan dandanan diri dari India ke Bandar Lama Lijiang di Wilayah Yunnan.
Hari ini, Laluan Teh-Kuda Purba telah bersedia untuk menjadi salah satu tarikan pelancongan yang paling menarik dan menakjubkan di dunia dengan kekayaan sejarahnya, 20 budaya minoriti berbeza yang berwarna-warni bertaburan di sepanjang laluan dan ianya adalah di antara landskap pergunungan bergerigi di planet ini yang paling menakjubkan.